Tuesday 21 July 2015

Mereka Yang Teristimewa

Kehilangan mereka
bukan saja menyayat hati anak-anak
yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba
tetapi amat menghiris hati kami
yang turut merasai kepedihan itu...

Mereka berdua begitu romantis
gurauan mereka menghiburkan hati
ada nasihat yang disampaikan
ada teguran yang dilantunkan
di dalam gurauan itu
begitu mesra hingga tiada hati yang terasa

Ketika di majils keramaian
kehadiran mereka sering dinanti
Kelibat mereka di cari-cari
santun mereka menyenangkan semua
bagai kurang berseri tanpa mereka di sisi

Tentu sentiasa rindu
setiap kali terkenangkan mereka
bukan hanya anak-anak kehilangan mereka
semua yang mengenalinya
turut sama merasai kehilangan itu

Bersabarlah
mereka tetap milik kita semua juga
doakanlah kesejahteraan mereka
bagai mendoakan kebahagiaan kita
semoga mereka damai disana
sementara kita di sini menanti detik yang sama..

Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Yusoff Ismail & Allahyarhammah Mimi Zaleha Abdul Aziz

Taman Permata
29 Ramadhan 1436
6.15pm

posted from Bloggeroid

Tuesday 14 July 2015

Akhirnya Kau Pergi Jua

Semalam...
seorang lagi sahabat lama
dijemput pulang ke pangkuan Ilahi

Sebak...
bila mendapat perkhabaran itu
lantas terkenang detik-detik akhir bersamanya
tika sahabat berperang dengan penyakitnya
berulang alik ke hospital
bagai berulang alik pulang ke rumah
deritanya hanya dia yang tahu
kita yang melihat terseksa jua

Terkenang...
bila sesekali menziarahnya
di hospital dan di rumah
wajahnya ceria menahan derita
masih tersenyum dengan jenaka
masih mengenali diri ini
walau hampir 27 tahun tidak bersua
menggenggam erat tangan ini
bagai tidak mahu melepaskan pergi

Syahdu...
bila dapat mengulang-ulang ziarahnya
terawat luka hiba
setelah terkilan dengan pemergian rakan terdahulu
yang tidak pernah sempat di jenguk
hingga akhir hayatnya

Sahabat...
pergilah dengan damai
ketika Ramadhan masih tersisa
bulan seribu rahmat menjemputmu
moga jannah tempatmu

Al-Fatihah buat Allahyarham Abu Bakar Zainal (K3)
yang meninggal dunia pada 13 Julai 2015

Taman Permata, Ulu Klang
14 Julai 2015
3.51pm

Thursday 23 April 2015

Akukah...

Akukah penyair cinta
berpuisi rindu
berbicara kasih
berkias sayang
berkata sanubari
berlagu pilu
berirama sendu

Akukah sasterawan ternama

menulis kehidupan
melukis kebahagiaan
mengukir keindahan
melorek kesengsaraan
memahat kematian

Akukah seniman agung

pencipta skrip utama
pelakon tersohor
pemuzik jalanan
pelawak kebanggaan
penyanyi duka
penghibur derita

Akukah itu...

berjalan mencari diri
berlari mengejar impian
meluncur laju ke langit biru...



Taman Permata

23 April 2015
12.21am

Saturday 8 March 2014

Sangkar Emas

Tak kiralah dari apa bahan buatannya
boleh saja emas, intan, berlian
ataupun hanya kayu belah rotan
tapi kalau namanya sangkar
ia cukup menyiksakan


Dunia bagai tiada gunanya lagi
akhirat bagai dipanggil-panggil ke mari 
jiwa bagai tak sabar lagi menanti
semua ini...
gara-gara sangkar bergari
tak dapat lagi berlari
duduk terhempuk seorang diri

Tapi...
jangan sesekali menyesali diri
cari hikmah
biarlah jasad terpenjara
bebaskan jiwa lara
bernafas biar lega

Biarkanlah airmata mengalir...
jika ia mendamaikan
tenangkan jiwa...
sentiasa ingat padaNya
dugaan ini akan berakhir
bersabarlah


Tuhan sentiasa bersama
menduga dengan kemampuan sendiri
tabah dan sabar... cari hikmah
tentu kan temui jalan ke syurga
sangkar emas hanya asbab
mendekatiNya dengan lebih tenang dan redha


Taman Permata
8 Mac 2014
4.02pm


Wednesday 25 December 2013

Akhirnya... Tuhan Lebih Menyayangimu

(Mengenang sahabat lama, Allahyarhammah Azizah Adam;
yang meninggal dunia pada 24 Disember 2013)

Malam yang tidak lena
rupanya beri petanda
kau dijemput pulang oleh Penciptamu

Berita yang diterima 
cukup menyentak rasa pilu yang mendalam
lantas kenangan lama terpapar di ingatan

Kau yang pendiam
kekal pendiam hingga ke akhir hayat
dengan rakan rapat yang tidak ramai
kau menjadi sebahagian dari teman yang akrab
namun
jarak dan masa memisahkan
lalu kita jarang dapat bertemu lagi
tapi
hubungan kita tetap mesra
dalam situasi yang berbeza

Maaf dari lubuk hati yang dalam
kerana tidak pernah dapat menziarahi
ketika sihat, semasa sakit malah di waktu tenatmu
aku manusia alpa
lantas menyesal dalam waktu yang terlewat

Terima kasih sahabat
kerana pernah memberi kekuatan ketika aku lemah
pernah mengajar tentang tanggungjawab bersahabat
malah pada  waktu lara, kau menjadi penawar duka

Akhirnya... Tuhan lebih menyayangimu
moga kau damai di sana
tika kami masih di sini
menanti detik untuk dipanggil jua


Taman Sri Kota, Taiping
25 Disember 2013
2.34am



Tuesday 24 December 2013

Malam Sepi

Malam sepi
terkenang kisah petang
seorang kawan lama maklumkan tentang isterinya
yang juga seorang kawan lama yang akrab
sedang sakit tenat di Petaling Jaya

dan aku termangu di Bandar Taiping

Malam sepi
terkenang kisah petang
kawan-kawan bersiap untuk hari esok
dalam pertemuan yang telah di atur awal
berkampung bersama di Senawang
sedang aku masih di Bandar Taiping

Malam sepi
perlu tidur awal malam ini
esok perlu pulang ke Kuala Lumpur
ada sahabat yang perlu di ziarahi
ada acara yang harus dihadiri
cuma tidak pasti yang mana satu
atau kedua-duanya sekali
dapat dipenuhi

Malam sepi
aku terlena dalam mata tidak terpejam
berita duka dan suka serentak
dan aku masih jauh dari acara



Taman Sri Kota, Taiping
24 Disember 2013
11.45pm


 

Thursday 7 November 2013

Sahabat Semalam

Kelmarin kami bertemu
lalu perkenalan pun berputik indah

Walau jarang bersua
tapi perkenalan ringkas itu jadi mesra
bertanya khabar, bertegur sapa, berkongsi cerita
persahabatan menjadi begitu erat

Sahabat yang serasi sukar ditemui
tetapi keserasian itu ada padanya

Semalam...
dapat nota ringkas dari sahabat ini
'sedih kerana terpaksa kehilangan sahabat sebaikmu...'
Noktah.



Bandar Tun Razak, Cheras
7 November 2013
8.16pm